Pages

Monday, March 21, 2011

12 WAJAH DI PADANG MASHYAR

Assalamualaikum W.B.T...
Kali ini ana mahu berkongsi bersama rakan-rakan yang dikasihi mengenai gambaran semasa berada di Padang Mahsyar. Bukanlah untuk menakut-nakutkan diri pembaca tetapi inilah yang sebenarnya akan berlaku. Jika kita melakukan surunhan-Nya di dunia, maka baiklah balasannya. Jika kita melakukan larangan-Nya, maka buruklah balasannya. Nauzubillah..   


 Hadis riwayat daripada Aisyah r.a. menjelaskan: ” Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: ” Umat manusia ini pada hari kiamat dikumpulkan pada suatu padang gondol (tidak berpohon, tidak berumput dan tidak berair), padang pasir putih seperti roti. Di sini mereka dikumpulkan dengan keadaan bertelanjang bulat. Masing-masing saling melihat aurat mereka. Dalam riwayat lain, dikatakan masing-masing mereka itu saling melihat” . (Riwayat Bukhari)

Suatu ketika, Muaz bin Jabal r.a menghadap Rasulullah SAW dan bertanya ” Ya Rasulullah, tolong huraikan kepadaku mengenai firman Allah SWT: ”Pada saat sangkakala ditiup, maka kamu sekalian berbaris-baris”. (An-Naba’ : 18)




Mendengar pertanyaan itu, Nabi Muhammad SAW menangis hingga basah pakaiannya. Lalu baginda menjawab: ”Wahai Muaz, engkau telah bertanyakan kepada aku, perkara yang amat besar, bahawa umatku akan diiringi, dikumpulkan berbaris-baris menjadi 12 barisan, masing-masing membawa amalan mereka sendiri”

            12 barisan yang dikatakan oleh baginda SAW iaitu kedaan Di Padang Mahsyar ialah :

1.Diiringi dari kubur dengan tidak bertangan dan berkaki.
            Keadaan mereka ini dijelaskan melalui seruan dari sisi Allah SWT: ”Mereka itu adalah orang-orang yang ketika hidupnya menyakiti  hati jiran, maka ini balasannya, dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

2.Diiringi dari kubur dalam keadaan berbentuk babi hutan.
          Datanglah suara dari sisi Allah yang berfirman: ”Mereka itu adalah orang yang ketika hidupnya meringankan solat maka inilah balasannya, dan tempat kembalinya adalah nereka...”

3. Mereka datang dalam berbentuk keldai, sedangkan perut mereka penuh dengan ular dan kala jengking.
            Allah SWT menjelaskan: ”Mereka ini adalah orang yang enggan membayar zakat, maka inilah balasannya, dan tempat kembali mereka adalah neraka..”

4.Diiringi dari kubur dengan keadaan darah seperti air pancutan keluar daripada mulut mereka.
            Allah SWT menegaskan. ” Mereka ini adalah orang yang berdusta di dalam jual beli, maka inilah balasannya, dan tempat mereka adalah neraka..”

5.Diiringi dari kubur dengan bau busuk daripada bangkai.Ketika itu Allah SWT menurunkan angin sehingga bau busuk itu menggangu ketenteraman di Padang Mahsyar.
          Allah SWT menegaskan: ”Mereka ini adalah orang yang menyembunyikan perlakuan derhaka takut diketahui menusia, tetapi tidak pula rasa takut kepada Allah SWT, maka inilah balasannya, dan tempat kembali mereka adalah neraka...”

6.Diiringi dari kubur dengan keadaan kepala mereka terputus daripada badan.
            Allah berfirman. ”Mereka adalah orang yang menjadi saksi palsu, maka inilah balasannya, dan tempat kembali mereka adalah neraka...”

7.Diiringi dari kubur tanpa mempunyai lidah dan dari mulut mereka mengalir keluar nanah dan darah.
            Allah SWT menegaskan ; ” Mereka itu adalah orang yang  enggan memberi kesaksian di atas kebenaran, maka inilah balasannya, dan tempat kembali mereka adalah neraka...”

8.Diiringi dari kubur dalam keadaan terbalik dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas.
          Allah SWT berfirman, ”Mereka adalah orang yang berzina, maka inilah balasannya, dan tempat kembali mereka adalah neraka...”

9. Diiringi dari kubur dengan berwajah hitam gelap dan bermata biru, sementara dalam diri mereka penuh dengan apai yang bernyala.
            Allah SWT menyatakan: ”Mereka itu adalah orang yang makan harta anak yatim dengan cara haram, maka inilah balasannya, dan tempat kembali mereka adalah neraka..”

10.Diiringi dari kubur dalam keadaan tubuh mereka penuh dengan sopak dan kusta.
          Allah SWT berfirman, ”Mereka adalah orang derhaka kepada kedua ibu bapanya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka...”

11.Diiringi dari kubur dengan berkeadaan buta, gigi memanjang seperti tanduk lembu jantan, bibir melebar sampai ke dada dan lidah terjulur memanjang sampai ke perut, dan keluar berbagai-bagai kotoran.
            Allah SWT menegaskan: ”Mereka adalah orang yang meminum arak, maka inilah balasannya, dan tempat kembali mereka adalah neraka...”

12. Diiringi dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar laksana bulan purnama. Mereka melalui titian sirat seperti kilat. Maka, datanglah suara dari sisi Allah yang Maha Pengasih yang menegaskan: ” Mereka adalah orang yang beramal soleh dan banyak melakukan kebaikan. Mereka menjauhi perbuatan derhaka, mereka memelihara solat lima waktu, ketika meninggal dunia mereka sempat bertaubat, maka inilah balasannya, dan tempat kembali mereka adalah syurga, mendapat keampunan, kasih sayang dan keredhaan Allah Yang Maha Pengasih.”

            Masya-Allah. Sungguh dahsyat  azab Allah dan sungguh indah nikmat Allah. Mudah-mudahan kita tidak tergolong dalam golongan 1-11 yang amat mengerikan (Nauzubillah) dan mudahan juga kita tergolong dalam golongan ke-12. Insya-Allah. Dengan itu, mari kita bersama menghayati video klip ini. Semoga dengan penghayatan itu terampunlah dosa-dosa yang pernah dilakukan. Amin... 




0 comments:

Post a Comment

 
Copyright (c) 2010 LAMAN fiRDAUSi. Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.