Pages

Friday, September 23, 2011

WACANA REMAJA



Remaja,
Pernahkah ingatan kita mengembara
ke daerah sukar negara sengsara
Iraq, Afganistan, Palestin
hidup memamah derita
berulamkan airmata,
menghitup semilir yang mengigit kedamaian
sehingga lautan senyum menjadi gurun ngeri
anak-anak tenggelam dalam kepayahan
untuk menuntut ilmu demi memetik kemajuan
kerana bumi merdeka telah terlerai ikatannya
dicengkam manusia yang bertopengkan haiwan.

Remaja,
Pernahkah kita cuba merasa
rakan seusia kita di daerah pilu
hilang warna-warna kehidupannya
di kanvas lukisan yang dahulunya indah pemandangan
sedangkan kita yang makmur di bumi bertuah
alpa tentang erti perjuangan
dadah, melepak dan samseng jalanan
menjadi igauan yang mengundang padah
kekayaan yang dikecam menjadi sukar mengenal
erti kesopanan dan kesusilaan yang terpinggir
mempamer kejahilan di denai khilaf
menuju ke destinasi yang penghujungnya adalah kehancuran.

Remaja,
Pernahkah kita berenang di lautan sejarah
melihat ombak perjuangan pahlawan silam
menentang badai yang menghempas pantai kemakmuran
bermandi darah menegak keadilan
demi mencipta sebuah negara merdeka
yang disegani setiap buana.

Remaja,
sesekali renunglah sejenak
sumbangan kita terhadap ibunda
kerana kita adalah permata yang perlu bersinar
bak rambulan menerangi alam
berganding bahu menyimpul azam
memartabatkan sebuah negara bangsa
bersisipkan prinsip rukun negara.


- afiefa binti saiful fazad -

  

2 comments:

Naimah Muhad said...

Assalamualaikum adikku sayang. sudah lama rasanya tidak berhubung, apatah lagi bersua wajah. indah bahasamu menutur makna. benar! kita remaja ketandusan perasaan 'sensitif'. sensitiviti kita luntur dek kesenangan kita mencatur kehidupan. mantap dek! teruskan menabur budi di laman tinta agar laman budi hati manusiawi subur kembali.

( Kak Na ) ~ p/s blog baru-lawatlah ;)

flankersmkaa said...

Assalamualaikum wahai rakan seguru...alhamdulillah bait indah yang disusun telah berpuitis mekar.

~ Ilham Kayangan ~

Post a Comment

 
Copyright (c) 2010 LAMAN fiRDAUSi. Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.